comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM, KSN & KPPA bincang mekanisme pelaporan rasuah dalam jabatan kerajaan

 

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berhubung mekanisme pelaporan isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa oleh ketua jabatan dan ketua unit dalam perkhidmatan awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, adalah menjadi kewajipan untuk melaporkan perbuatan rasuah kepada pihaknya di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009 dan boleh dikenakan tindakan dibuang kerja sekiranya didapati bersalah.

“Bila bercakap tentang pelaporan ini, bukan saja ketua jabatan tetapi melibatkan juga penyelia. Penyelia banyak peringkat, jadi contohnya seorang pegawai daripada kumpulan sokongan, dia ada penyelianya.

“Jadi mekanisme ni perlu ada dari segi pelaporannya kepada pihak atasan atau SPRM,” katanya yang ditemui selepas melancarkan buku ‘The Sin of Corruption: A Religious Perspective’ di sini hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Jun dilapor berkata, tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku penjawat awam di bawah seliaannya yang tidak dilaporkan.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mahu satu ketetapan mengenai aspek kenaikan pangkat itu dibuat pada minggu hadapan dengan kaedahnya dijangka diumumkan oleh Mohd Zuki dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, menurut Tan Sri Azam, pihaknya menyambut baik saranan Perdana Menteri itu.

“Ini adalah akauntabiliti kepada semua ketua-ketua jabatan dan juga pegawai atasan kerana perkara tentang melaporkan perbuatan rasuah pegawai-pegawai di bawah kakitangan ini adalah tepat pada masanya untuk mereka memantau dan melaporkan kepada peringkat atas dan SPRM, kerana sekiranya tidak diambil berat perkara ini ia akan menyebabkan keruntuhan dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

.

Loading...
Terkini