Tumpuan :
Nasional

SPRM masih teruskan siasatan terhadap HRD Corp

Tan Sri Azam Baki menyampaikan ucapan di Majlis Penutup Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Siasatan mengenai isu tadbir urus Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) masih diteruskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan pihaknya membuka beberapa fail siasatan membabitkan perkara berkenaan.

Beliau memberi reaksi itu susulan laporan sebuah portal berita yang melaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjelaskan tiada kesalahan dikesan dalam isu tadbir urus HRD Corp.

Laporan itu melaporkan, dalam laporan prosiding mengenai tindakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), 20 November lalu, pegawai siasatan SPRM memberitahu Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin siasatan badan itu mendapati tiada kesalahan mengikut Akta SPRM 2009.

Mengulas lanjut, Azam berkata, beliau dimaklumkan mengenai laporan berita berkenaan namun ia mungkin membabitkan satu fail kes saja dan mungkin tidak merangkumi secara keseluruhan isu itu.

“Secara amnya, kami membuka beberapa fail terhadap HRDF. Semua siasatan masih diteruskan dan kemudian saya mengarahkan pegawai saya untuk memaklumkan PAC (jadi) itu boleh jadi apa yang pegawai maksudkan tentang kes ditutup boleh berada di salah satu fail.

“Fail itu masih bersama (pegawai) dan masih belum diputuskam oleh Timbalan Pendakwa Raya. Saya rasa mereka mahu menjadikannya lebih jelas,” katanya pada Program Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Kelana Jaya, hari ini.

Katanya, siasatan dilakukan merangkumi beberapa aspek termasuk perolehan, pelaburan dan sebagainya.

“Jadi boleh jadi apabila dia (pegawai berkenaan) menjawab soalan dalam PAC, mungkin dia hanya melihat ke dalam satu skop, itu mungkin yang berlaku dalam PAC..

“(Bagaimanapun) saya tidak boleh mengulas begitu banyak mengenai perkara itu. (Perkara) itu dalam siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini