comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM nafi terima arahan tutup siasatan daripada pihak tertentu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tohmahan berita menyatakan bahawa suruhanjaya itu menerima arahan daripada pihak tertentu agar tidak melakukan siasatan terhadap individu tertentu membabitkan pembelian saham sebuah syarikat.

SPRM berkata, laporan berita yang disiarkan di sebuah portal berita tempatan dan antarabangsa adalah tidak tepat serta tidak berkredibiliti.

Malah SPRM menegaskan, setiap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan adalah ‘without fear or favour’ (tanpa rasa takut atau pilih kasih), tanpa ada campur tangan mana-mana pihak dan adil tanpa prasangka dalam semua keadaan berteraskan prinsip kedaulatan serta keluhuran undang-undang.

“SPRM yakin perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap suruhanjaya ini,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, SPRM berkata, pihaknya tidak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta.

Menurut SPRM, setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

“SPRM juga tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan yang sengaja direka-reka,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, SPRM berharap agar orang ramai tidak terpedaya dengan tohmahan mana-mana pihak yang cuba mengaitkan suruhanjaya terbabit bagi menyerang kepentingan pihak tertentu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini