comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] SPRM panggil Mirzan Mahathir bantu siasatan

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah memanggil, Mirzan Mahathir ke ibu pejabatnya semalam, untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Menurut kenyataan SPRM, Mirzan hadir ke ibu pejabat pada jam 9.30 pagi semalam dan satu perintah notis disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Notis itu mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis itu.

“Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” menurut kenyataan SPRM, di sini, hari ini.

Dilaporkan, SPRM sudah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

Sehingga kini, seramai 10 saksi dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan itu dan siasatan masih giat dijalankan.

Loading...
Terkini