KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah selesai menyiasat kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam syarikat perniagaan fesyen platform e-dagang, FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki berkata, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM sedang mempertimbangkan tindakan seterusnya terhadap siasatan berkenaan dan keputusan dijangka diketahui dalam masa terdekat.
“Kertas siasatan telah diserahkan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM untuk kajian dan pertimbangan. Keputusannya akan diperoleh dalam masa yang terdekat,” katanya hari ini yang dipetik BH.
Media sebelum ini melaporkan penyiasat SPRM memulakan siasatan berhubung isu kerugian pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat pemula berkenaan.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen itu kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar yang mengasaskan FashionValet kemudian mengumumkan akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang terbabit.
Dalam siasatan, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan, selain dilapor menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran nilai keseluruhan kira-kira RM200,000.
Suruhanjaya itu turut membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit, termasuk syarikat yang mengeluarkan tudung mewah jenama Vivy.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.