comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM Sesuai Diletak Di Bawah Parlimen

KUALA LUMPUR: Program pencegahan rasuah akan menjadi lebih bahaya jika diletakkan di bawah kuasa eksekutif dalam tempoh lama kerana akan bertembung dengan konsep akauntabiliti (kebertanggungjawaban).

Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata tanggungjawab pada Parlimen lebih bererti daripada tanggungjawab kepada eksekutif.

“Akauntabiliti pada Parlimen selaras dengan akauntabiliti Kabinet terhadap Parlimen.

“Jadi apa salahnya jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bertanggungjawab pada Parlimen,” katanya selepas merasmikan Majlis Persidangan Simposium Parlimen Malaysia 2022 Forum Antirasuah Senator bersama SPRM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Pengerusi JKKMAR, Fadhlina Sidek.

Beliau mengulas gesaan pelbagai pihak yang mencadangkan supaya SPRM diletakkan di bawah seliaan Parlimen, dengan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu ditentukan Jawatankuasa Khas Parlimen, sebelum dipilih 222 Ahli Parlimen.

Langkah itu disifatkan pelbagai pihak sebagai bukti kesungguhan kerajaan untuk melaksana agenda pembaharuan institusi Parlimen, seiring dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Gesaan meletakkan SPRM di bawah Parlimen juga bagi akan memastikan proses semak dan imbang SPRM lebih bebas serta telus.

Pada 29 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau terbuka dengan cadangan agensi itu diletakkan di bawah Parlimen, namun perkara itu mungkin akan menyebabkan agensi berkenaan terikat dengan arahan ditetapkan ahli politik.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, JKKMAR perlu diberi lebih peranan menerusi Seksyen 14 Akta SPRM.

“Seksyen 14 ini boleh ditambah sedikit lagi, selain hanya memeriksa, perlu diperluaskan sedikit supaya boleh melihat tanggungjawabnya.

“Kita (JKKMAR) bukan mahu menentukan hal kecil dalam pentadbiran, jika Parlimen boleh buat undang-undang kenapa tidak boleh buat pengawasan anti-rasuah ini,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini