comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM siasat isu suami menteri terima kontrak

Foto: NSTP


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima beberapa aduan baharu berhubung isu suami seorang menteri dilantik untuk memberi bukti konsep satu projek pengangkutan oleh Kerajaan Selangor.

Menurut sumber, aduan dan maklumat itu memberikan beberapa petunjuk baharu untuk diteliti.

Justeru, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk melihat kesahihan maklumat atau petunjuk baru tersebut, kata sumber.

Siasatan secara menyeluruh dijalankan termasuk melihat kepada isu salah guna kuasa dan tatakelola dalam pematuhan arahan perbendaharaan dalam proses pelantikan syarikat berkenaan oleh Kerajaan Selangor, tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan beberapa aduan dan maklumat telah diterima berkenaan isu terbabit.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat spekulasi serta membincangkan isu ini secara terbuka, sebaliknya memberi ruang untuk SPRM melaksanakan siasatan,” kata beliau.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum ini menyatakan bahawa SPRM tidak menemui sebarang kesalahan dalam siasatan interim (awal).

Namun demikian sekiranya adanya petunjuk baharu, siasatan lanjut boleh dijalankan ke atas isu tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini