PETALING JAYA: Empat anggota penguat kuasa diberkas kerana disyaki menerima wang rasuah kira-kira RM300,000 daripada ejen-ejen dan calon-calon yang mengambil lesen memandu.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia 30-an dipercayai ditahan kira-kira jam 4 petang tadi ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.
“Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021 dan 2022 serta disyaki menerima wang rasuah melalui orang tengah sebagai balasan untuk mengeluarkan lesen memandu kepada calon tanpa perlu mengikuti ujian memandu.

“Modus Operandi (MO) anggota penguat kuasa ini adalah dengan meminta dan menerima rasuah daripada “orang tengah” antara RM400 hingga RM1,200 daripada setiap calon bagi mendapatkan lesen memandu pelbagai kelas tanpa menjalani ujian memandu,” dedah sumber itu lagi.
Katanya, kegiatan sindiket pengeluaran lesen terbang itu dipercayai menyebabkan kerugian kepada hasil kerajaan sebanyak kira-kira RM1.5 juta.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.
Siasatan kes mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah jam 9 pagi esok untuk permohonan reman.