comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM tahan pengarah syarikat

Foto hiasan

MELAKA: Seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Melaka kerana disyaki bertindak sebagai pemberi rasuah kepada penjawat awam di jabatan di Negeri Melaka bagi pelaksanaan kerja-kerja perolehan bernilai lebih RM630,000 di jabatan kerajaan di sini.

Lelaki berusia awal 60-an itu yang juga pengarah syarikat pembekalan ditahan di Pejabat SPRM Melaka kira-kira jam 12 tengah hari tadi bagi membantu siasatan kes itu.

Menurut sumber, penahanan itu dibuat kerana suspek disyaki merasuah penjawat awam di pelbagai jabatan kerajaan di negeri ini dengan memberi hingga puluhan ribu ringgit wang rasuah bagi memastikan kerja-kerja pembekalan di jabatan berkenaan diperolehi pihaknya.

“Kes ini membabitkan perolehan keseluruhan berjumlah RM639,104,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit selain tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam pelbagai jabatan untuk memberi kerjasama.

Beliau menegaskan rantaian kartel rasuah sebegitu perlu dinoktahkan bagi mengelak kerja-kerja monopoli projek pembekalan di jabatan kerajaan negeri Melaka berlarutan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok bagi mendapatkan kebenaran permohonan reman,” katanya.

Loading...
Terkini