
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam lagi individu yang melibatkan pegawai dan bekas pegawai institusi perbankan disyaki menerima rasuah sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan permohonan pinjaman peribadi yang dikemukan sebuah syarikat perunding kewangan.
Perintah reman selama lima hari sehingga 27 Januari 2025 terhadap enam suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
[VIDEO] SPRM tahan reman 6 lagi individu babitkan rasuah pinjaman peribadi
Enam lagi individu yang disyaki terbabit rasuah pinjaman peribadi ditahan reman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi. pic.twitter.com/KUiFMwH5Wh
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 23, 2025
Menurut sumber, keenam-enam suspek berusia lingkungan 20 hingga 40-an telah ditahan antara jam 3 hingga 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM berhubung Op Sky.
“SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai institusi perbankan yang membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.
“Pegawai-pegawai ini dipercayai menerima rasuah daripada syarikat perunding kewangan yang bertindak menyediakan dokumen dipercayai mengandungi maklumat palsu pelanggan yang ingin membuat pinjaman peribadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap enam lagi supek berkenaan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Katanya, 19 individu yang sebelum ini ditahan reman telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.