PULAU PINANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan reman dua buruh binaan disyaki memberi suapan kira-kira RM500 kepada seorang anggota penguat kuasa sebagai balasan membenarkan warga asing yang tiada di dalam senarai kebenaran untuk melakukan kerja-kerja kontrak di sebuah loji air di negeri ini.
Perintah reman selama lima hari sehingga 23 September 2024 terhadap kedua-dua suspek lelaki yang berusia lingkungan 30 hingga 50-an dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek telah ditahan sekitar jam 3 petang semalam di Pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai telah menawarkan wang suapan kira-kira RM500 kepada seorang anggota penguat kuasa yang bertugas pada ketika itu.
“Ia sebagai balasan memberi kebenaran masuk pekerja asing yang tiada di dalam senarai kebenaran untuk membuat kerja-kerja kontrak di sebuah loji air yang terletak di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.