KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di negeri ini disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM110,000 daripada beberapa syarikat yang telah mendapat projek pembekalan dengan jabatan tempat beliau bertugas.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 2.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada awal tahun 2024 dan meminta rasuah untuk pegawai-pegawai di bawah seliaannya.
“Suspek juga disyaki menerima suapan dalam bentuk barangan seperti mesin basuh, komputer riba, tablet, telefon pintar, gitar elektrik, peralatan gim, aksesori kereta dan pembayaran untuk pembelian motosikal.
“SPRM telah merampas dan menyita kesemua barangan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Bagaimanapun tambah beliau, suspek akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.