SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan reman suspek utama yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi ‘Counter Setting’.
Majistret Mohd Sabri Ismail membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 September 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai bersekongkol dengan ejen-ejen sindiket membawa masuk warga asing yang tiba menerusi KLIA1 dan KLIA2.
“Suspek sebelum ini telah ditahan oleh SPRM Negeri Sembilan pada Rabu lalu dan direman pada Khamis sehingga 23 September 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sivil Seremban.
“Semalam suspek telah dibawa ke Pejabat SPRM Selangor bagi membantu siasatan kes yang turut disiasat oleh SPRM Selangor,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek berkenaan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.