comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM temui petunjuk baharu siasatan skandal rasuah MBI

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.- Foto fail

NILAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui petunjuk baharu membabitkan siasatan ke atas Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) berhubung kes rasuah konsesi perlombongan pasir.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, buat masa ini pihaknya tidak boleh mendedahkan perkara itu kerana masih mengumpul keterangan daripada saksi.

“Siasatan masih lagi dijalankan dan keterangan saksi sedang dikumpulkan. Memang ada keterangan baharu yang diperoleh, tetapi buat masa ini saya tidak boleh kongsikan lagi.

“Ada petunjuk baharu yang menunjukkan saham yang diperoleh oleh (individu) yang terbabit dalam siasatan ini diperoleh untuk kegunaan sendiri dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM (Penolong Penguasa Gred P29) di Padang Kawad Pusat Latihan Asas, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai individu berpengaruh yang akan ditahan seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Azam berkata, pihaknya masih mengumpul bukti dan melihat sama ada hasil keterangan menjurus kepada individu itu atau sebaliknya.

“Apabila sampai masa kelak, kita akan panggil. Buat masa ini kumpul semua bukti dulu jika individu itu berkaitan dan sekiranya perlu, kita perlu lihat adakah menjurus kepada beliau atau tidak.

“Sekiranya betul-betul menjurus kepada beliau, beliau perlu menjawab untuk tujuan membantu siasatan,” katanya.

Ditanya mengenai tangkapan terbaharu, Azam berkata, bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) MBI yang ditahan reman selama tujuh hari sudah dibebaskan selepas reman tamat dan setakat ini tiada tangkapan terbaharu.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya sudah melakukan serbuan ke sembilan premis di sekitar Lembah Klang, namun setakat ini tiada premis atau kenderaan yang disita kerana tiada keperluan.

“Untuk premis setakat ini kalau tak silap saya lebih kurang sembilan yang sudah digeledah. Kita tidak sita sebarang premis kerana ia (premis) bukan milik mereka, ada premis yang milik seseorang yang tinggal di situ dan bukan perkara yang berkaitan dalam siasatan kami, jadi tidak boleh sita.

“Ada yang bertanya mengenai sitaan kenderaan, tiada kenderaan yang disita setakat ini sebab tiada keperluan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan ‘safe house’ seorang ahli politik berpengaruh dan menemui sejumlah mata wang asing berjumlah kira-kira RM5 juta.

Susulan itu, SPRM dilaporkan menggeledah dua lagi tempat yang dipercayai dijadikan sebagai safe house oleh seorang ahli politik berpengaruh iaitu membabitkan sebuah pejabat dan satu lagi tempat yang tidak diperincikan.

Penggeledahan di dua lokasi terbabit membawa kepada penemuan wang bernilai kira-kira RM321,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini