
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima banyak bukti baharu berhubung siasatan rasuah berkaitan projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah membabitkan lebih RM80 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pelbagai bukti baharu yang diterima itu boleh membantu siasatan kes berkenaan.
“SPRM menerima banyak bukti baharu dalam masa terdekat ini,” katanya selepas Program Menembak SPRM Bersama Media sempena Ulang Tahun SPRM ke-56, di Kajang, hari ini.
Mengenai bila bekas menteri pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin akan dipanggil SPRM, Azam berkata, perkara itu akan diserahkan kepada pegawai penyiasat.
“Saya tidak pasti (tarikh Radzi dipanggil) kerana semuanya akan diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya selepas Program Menembak SPRM Bersama Media sempena Ulang Tahun SPRM ke-56, di Kajang, hari ini.
Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata, bekas Menteri Pendidikan itu kemungkinan besar akan dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan.
Minggu lalu, Radzi mengesahkan bekas Setiausaha Politiknya antara dua individu ditahan SPRM berkaitan projek berkenaan.
Beliau bagaimanapun menafikan terlibat dalam sebarang dakwaan berhubung tuduhan meluluskan projek rundingan terus itu.