comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM tidak dapat sahkan PN terima dana syarikat judi – Azalina

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat mengesahkan dakwaan parti dalam Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata SPRM sudah menjalankan siasatan berkaitan maklumat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu.

“Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin mengetahui status siasatan terhadap dakwaan parti di dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi ketika kempen pilihan raya umum yang lalu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada sidang medianya mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.

PAS menyifatkan mustahil untuk PN menerima dana politik dari tauke dan syarikat judi ketika parti itu tegas menutup tempat perjudian, malah pernah dituduh Taliban.

Anwar berkata Kementerian Kewangan juga mendapati ‘pelanggaran’ dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

Loading...
Terkini