Tumpuan :
Nasional

SPRM tunggu siasatan DBKL, dakwaan salah laku ahli lembaga penasihat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan maklum balas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihatnya yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata pihaknya akan menghubungi Unit Integriti DBKL bagi meneliti hasil siasatan dalaman yang sedang dijalankan.

“Kita tunggu dan lihat apa hasil siasatan yang dijalankan.

“Esok (Jumaat) pegawai saya akan hubungi Unit Integriti DBKL. Jika wujud elemen jenayah iaitu salah guna kuasa dan rasuah kita akan jalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, SPRM dilaporkan menyatakan kesedian membantu DBKL dalam siasatan terhadap dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, tiada siasatan dibuka oleh pihaknya berhubung dakwaan itu.

Sebelum itu media melaporkan, DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, dilapor berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.

Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu yang juga seorang penerbit dan pengarah filem mula tular di media sosial baru-baru ini.

Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.

Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat itu dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan.

Maimunah berkata, DBKL masih mengumpul maklumat dan bukti mengenai perkara ini sebelum memutuskan langkah seterusnya, termasuk membuat laporan kepada SPRM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini