Tumpuan :
Nasional

SSM siasat 19 syarikat disyaki terbabit skim pelaburan tidak sah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyiasat 19 syarikat yang disyaki terbabit menganjurkan skim pelaburan tidak sah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Siasatan dibuat bagi kesalahan mendorong orang awam melaburkan wang secara penipuan atau fraud, penawaran syer atau tawaran mendepositkan wang.

Menurut suruhanjaya berkenaan, daripada 19 syarikat yang disiasat dalam tempoh Januari hingga Jun lalu itu, majoriti membabitkan kesalahan mendorong individu melaburkan wang secara fraud.

“Namun begitu, maklumat lanjut berkaitan syarikat terbabit dan tindakan spesifik yang akan diambil tidak dapat didedahkan pada masa ini bagi memastikan integriti dan kerahsiaan siasatan tidak terjejas,” katanya memetik laporan BH.

Menurut SSM, suruhanjaya itu dari semasa ke semasa membuka kertas siasatan berkaitan pelaburan tidak sah berdasarkan aduan diterima daripada orang awam yang menjadi mangsa pelaburan dan juga berdasarkan maklumat diperoleh daripada media serta yang disalurkan oleh agensi penguatkuasaan lain.

“Ia membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” menurut suruhanjaya berkenaan.

Bagi tempoh 2017 hingga Jun lalu, menurut SSM, ia menyiasat 197 syarikat yang disyaki terbabit dalam skim pelaburan tidak sah di negara ini, paling tinggi adalah 32 kes ketika penularan pandemik COVID pada 2021, diikuti 31 kes pada 2022, manakala pada 2017 menyiasat 24 kes, 2018 (17), 2019 (24), 2020 (20) dan 2023 (30).

“Semua kes pelaburan tidak sah disiasat mengikut Akta Syarikat 2016 dan Akta Skim Kepentingan 2016. Siasatan terperinci dibuat mengikut Seksyen 594, Akta Syarikat 2016 bagi kesalahan mendorong orang untuk melaburkan wang secara fraud.

“SSM juga mempunyai kuasa di bawah Seksyen 549 akta itu untuk memotong syarikat daripada daftar jika didapati digunakan untuk tujuan menyalahi undang-undang. Siasatan juga mengikut Seksyen 43 akta sama, larangan terhadap syarikat persendirian untuk menawarkan syer atau debentur atau mempelawa untuk mendepositkan wang.

“Mengikut Akta Skim Kepentingan 2016 pula, tiada orang kecuali syarikat pengurusan boleh mengeluarkan atau menawarkan atau mempelawa orang awam untuk melanggan atau membeli apa-apa kepentingan,” menurut suruhanjaya berkenaan.

Tegas SSM, ia sentiasa komited dalam memastikan pematuhan undang-undang yang ditadbir olehnya termasuk menjalankan siasatan terperinci mengenai isu pelaburan tidak sah membabitkan syarikat di negara ini berdasarkan laporan dan aduan yang diterima.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini