comscore
Tumpuan :
Nasional

SSPA sudah di peringkat akhir – PM

SUBANG JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi meningkatkan kadar upah penjawat awam sudah berada di peringkat akhir.

Perdana Menteri berkata SSPA baharu itu akan cuba diumumkan sebelum akhir tahun ini selepas 10 tahun gaji penjawat awam tidak dinaikkan.

Katanya, melalui SSPA itu, kerajaan juga akan mengkaji bagi memberi kelonggaran kepada wanita dalam kalangan penjawat awam yang ingin menjaga keluarga namun masih boleh menyumbang kepada negara dengan menyediakan kadar upah berdasarkan tempoh kerja lebih pendek.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, di sini malam ini.

 

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Kajian mengenai SSPA yang turut memfokus kepada peningkatan gaji dan elaun dalam sektor awam dijangka mengambil masa dua tahun dan adalah inisiatif pembaharuan kerajaan Malaysia MADANI dalam perkhidmatan sektor awam.

6 Februari lalu, Anwar dipetik sebagai berkata laporan akhir ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, mengesahkan garis panduan yang telah dimuktamadkan itu akan dibentangkan untuk kelulusan semasa mesyuarat kabinet.

November tahun lalu, Anwar mengumumkan kerajaan komited untuk melancarkan skim gaji baharu menjelang akhir tahun ini.

Katanya, kajian penjajaran gaji, lazimnya dijalankan setiap 10 tahun, memerlukan penyelarasan yang meluas di pelbagai jabatan kerajaan.

Pada Ogos, kerajaan mengumumkan bahawa ia bersedia untuk memberikan maklumat terperinci mengenai kenaikan gaji kira-kira 1.3 juta penjawat awam menjelang pembentangan Bajet 2024 pada Oktober.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini