Tumpuan :
Nasional

Status pelajar sekolah guna pangkalan haram diputuskan Ahad ini

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Isu hampir 500 murid dan pelajar sekolah yang menggunakan pangkalan haram Sungai Golok dari Thailand ke Rantau Panjang setiap hari, akan diputuskan Ahad ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat, berkata perkara berkenaan akan dibincangkan menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“MKN akan adakan mesyuarat pada Ahad ini di Kota Bharu bagi membincangkan isu sempadan terutama membabitkan hampir 500 pelajar yang berulang dari Thailand ke Malaysia menggunakan pangkalan haram.

“Insya-Allah perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat itu nanti. Kita akui apa yang kita lakukan di sempadan menimbulkan ketidakpuasan hati banyak pihak.

“Namun pada masa sama, aspek keselamatan perlu diberi perhatian. Jika bukan sekarang ia tidak dilaksanakan, sampai bila kita perlu menunggu,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan juga dikatakan sudah mengadakan perbincangan berhubung isu berkenaan hari ini dan cadangan yang bakal diambil sudah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk persetujuan.

Media sebelum ini melaporkan, hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok, setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.

Tinjauan mendapati, seawal jam 6.30 pagi mereka sudah mula menunggu bot untuk ke Malaysia dengan caj bot dikenakan RM1 bagi pelajar sekolah.

Lima pangkalan haram yang menjadi tumpuan pelajar sekolah termasuk pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.

Suasana di Sungai Golok antara jam 6.30 pagi hingga jam 8 begitu meriah dengan pergerakan bot dan pelajar dari Thailand datang ke Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini