Tumpuan :
Nasional

Status usaha pemisahan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya jadi tumpuan Sidang Dewan Rakyat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan mengangkat martabat agensi dan institusi agama Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan status terkini bagi usaha pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya antara yang akan dibangkitkan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Zulkifli Ismail (PN-Jasin) ingin tahu usaha yang dilaksanakan bagi memastikan agensi dan institusi agama Islam antaranya JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dapat terus berperanan secara optimum dalam mengangkat martabat syariat, menjaga kesucian akidah dan pembangunan umah.

Beliau mengemukakan soalan itu kepada Perdana Menteri melalui soalan kedua di sesi soal jawab di Dewan Rakyat, bermula jam 10 pagi.

Pada sesi sama, Teresa Kok (PH-Seputeh) turut meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini bagi usaha pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta garis masa untuk melaksanakan reformasi institusi ini.

Turut menarik perhatian ialah soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini Lesen KL MADANI yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sama ada ia masih aktif serta berapa jumlah keseluruhan lesen.

Selain itu, Rodziah Ismail (PH- Ampang) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan perancangan mengintegrasikan ekonomi penjagaan dalam pembangunan nasional dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negara.

Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat diteruskan dengan bacaan kali pertama enam Rang Undang-Undang (RUU) antaranya membabitkan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024 dan RUU Syarikat Labuan (Pindaan) 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini