comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Stoking ada kalimah Allah: Polis rakam keterangan Pengasas KK Mart

 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam keterangan pengasas KK Supermart Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, semalam.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam kenyataan hari ini, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan individu terbabit antara lapan yang sudah pun selesai dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung kes itu.

Katanya, pengasas kedai rangkaian serbaneka 24 jam terbabit dirakam keterangan pada jam 12.30 tengah hari, semalam, bagaimanapun lokasinya tidak didedahkan.

“Siasatan masih di peringkat awal dan pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ akan melaksanakan siasatan secara menyeluruh ke atas kes penjualan stokin tertulis kalimah Allah yang dilaporkan dikesan di KK Mart, Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya.

“Pihak UJST sedang mengenalpasti proses perolehan dan lain-lain yang bersangkutan bagi mengenalpasti pelaku-pelaku yang terlibat,” katanya.

Tambah kenyataan itu, siasatan akan meliputi semua aspek sebelum dapatan akhir dimuktamadkan dan siasatan awal setakat ini mendedahkan vendor yang terlibat, beroperasi di Batu Pahat, Johor.

Dalam pada itu, katanya setakat jam 12 tengah hari, tadi sebanyak 80 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan itu terbabit.

Terdahulu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam kenyataan, semalam berkata PDRM membuka dua kertas siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah itu.

Menurut beliau, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini