comscore
Tumpuan :
Nasional

Stor simpan diesel diserbu, 20 tangki dirampas

FOTO: KPDN Johor

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Muar, Johor merampas 56,520 liter diesel selepas menyerbu sebuah stor di Bukit Pasir, Muar, semalam.

Pengarah KPDN Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu dibuat selepas stor berkenaan disyaki menyimpan diesel tanpa lesen serta permit barang kawalan.

“Kita telah merampas sejumlah minyak diesel dengan anggaran sebanyak 56,520 liter yang mencecah nilai sehingga RM121,518.

“Selain itu, kita turut menyita 20 unit tangki penyimpanan dan alat pemindahan minyak diesel, sebuah lori, sebuah treler dan tujuh kunci lori serta treler itu yang mana nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM375,518,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan, stor itu gagal mengemukakan sebarang dokumen seperti lesen serta permit bagi memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan diesel.

Katanya, dua lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai pemandu lori dan seorang lelaki warga asing sebagai penjaga stor yang semuanya berusia dalam lingkungan 20-an ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya.

Sebelum itu, Lilis Saslinda menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan semua.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini