Tumpuan :
Nasional

STR Fasa 1 disalur mulai esok

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan disalurkan secara berperingkat mulai esok, kepada 9 juta penerima dengan peruntukan RM2.3 bilion tahun ini, berbanding RM2.1 bilion tahun lalu.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bantuan itu bakal dimanfaatkan 60 peratus penduduk dewasa dengan pendapatan isi rumah sekitar RM4,600 tahun ini, iaitu kenaikan hampir 25 peratus berbanding RM3,700 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan, berkata peningkatan peruntukan bagi STR Fasa 1 yang jauh melangkaui kadar inflasi negara ini mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat bertambah baik, meskipun berlakunya peningkatan kos sara hidup.

“Kendatipun peningkatan kos sara hidup adalah fenomena yang melanda seluruh dunia, besarlah harapan Kerajaan Madani agar peningkatan sumbangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan STR saban tahun ini dapat membantu rakyat menggapai kehidupan yang lebih berdarjat,” katanya.

Pembayaran STR akan dibuat melalui pengkreditan ke dalam akaun bank penerima atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Pada minggu lalu, kerajaan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 700,000 penerima kategori miskin dan miskin tegar.

Menerusi SARA, bantuan sebanyak RM100 sebulan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi Januari hingga Mac manakala mulai April ini, kadar bantuan akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.

Untuk STR, permohonan baharu dan kemas kini bagi STR dibuka sepanjang tahun.

Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan di portal rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini