comscore
Tumpuan :
Nasional

Struktur jambatan terjejas runtuhan akibat paip pecah

Calon Barisan Nasional DUN Bota, Khairul Shahril Mohamed yang meninjau lokasi jambatan terjejas runtuhan akibat paip pecah.

Oleh Hafizan Mohd Zain

BOTA: Insiden paip pecah di bawah jambatan di laluan Bota Kiri ke Lambor Kiri, Perak menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan hari ini, selepas sebahagian strukturnya hampir runtuh.

Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mengunakan laluan alternatif melalui Jalan Bota Kanan untuk meneruskan perjalanan sama ada ke Kampung Gajah ataupun ke Bota.

Calon Barisan Nasional DUN Bota, Khairul Shahril Mohamed yang meninjau lokasi kejadian berkata, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Perak Tengah, kejadian berpunca insiden paip pecah yang menyebabkan tanah di bahagian bawah jambatan telah runtuh.

Kejadian diburukkan lagi dengan keadaan arus Sungai Bakong yang deras dan naik mendadak susulan hujan lebat pada petang Ahad, mengakibatkan rempuhan sisa dan tumbuhan yang hanyut.

“Penduduk terpaksa gunakan laluan yang agak jauh ke Bota dan seterusnya menggunakan Jambatan Lambor, kita tiada pilihan demi mengutamakan keselamatan.” katanya ketika ditemui hari ini.

Jelasnya, penduduk terlibat perlu menggunakan laluan alternatif sejauh hampir 15 kilometer sekiranya ingin melalui kawasan tersebut terutamanya bagi ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka di sekolah yang terletak di Kampung Lambor.

Sebagai langkah awal, pihak Jabatan Pengairan dań Saliran (JPS) telah bertindak membersihkan laluan sungai dan juga persekitarannya bagi memastikan arus sungai tidak terhalang.

Beliau dimaklumkan, kerja-kerja baik pulih jambatan sepanjang 80 meter itu mengambil masa 10 hari sebelum ia dapat dibuka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya.

Pihaknya juga akan menempatkan anggota RELA bagi memastikan tiada penduduk yang melalui kawasan tersebut.

Loading...
Terkini