comscore
Tumpuan :
Nasional

Suami isteri ditahan curi iPhone 13 milik remaja

Foto hiasan

TAWAU: Polis menahan pasangan suami isteri selepas disyaki mencuri telefon bimbit jenama iPhone 13 milik seorang remaja perempuan di kawasan perumahan di Batu 8, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.26 tengah malam itu, mangsa berusia 17 tahun mendakwa bertemu dengan pasangan terbabit yang berhajat mahu membeli telefon bimbit miliknya pada harga RM2,600 seperti yang diiklankan di Facebook.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pertemuan itu mangsa menyerahkan telefon bimbit terbabit selepas suspek menunjukkan bukti transaksi (tangkap layar) bayaran yang didakwa dibuat ke dalam akaun ibu mangsa.

Katanya, mangsa kemudian meminta pasangan itu keluar dari kenderaan kerana mahu mengambil gambar mereka sambil memegang telefon bimbit, namun suspek enggan dan memberi alasan termasuk pening kepala dan mengandung.

“Curiga dengan tindak-tanduk pasangan itu, mangsa segera menghubungi ibunya bertanyakan mengenai bayaran itu, namun dimaklumkan tiada sebarang transaksi atau bayaran dikreditkan ke dalam akaun banknya.

“Kedua-dua suspek secara tiba-tiba terus memecut kenderaan dan melarikan diri bersama telefon bimbit mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, susulan laporan dibuat mangsa, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan pasangan suami isteri itu dan dua lelaki tempatan berusia 30 hingga 42 tahun menerusi dua serbuan di sekitar daerah ini.

“Turut dirampas satu unit telefon bimbit jenis Iphone 13 dipercayai barang curi. Semua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala suspek wanita itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini