comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Suami isteri kaut RM15,000 seminggu jual barang ciplak

NIBONG TEBAL: Kegiatan sepasang suami isteri menjual pelbagai produk tiruan dalam kawasan kediaman elit di Simpang Ampat di sini menerusi media sosial hanya bertahan selama empat bulan sebelum dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang.Pengarah KPDN negeri, S Jegan, berkata siasatan mendapati pasangan tersebut masing-masing berusia 26 tahun dan 31 tahun pernah menjalankan kegiatan serupa di Parit Buntar, Perak sebelum berpindah ke rumah teres dua tingkat di taman perumahan berkenaan dengan kadar bayaran RM1,800 sebulan.

“Lokasi ini sukar dimasuki kerana kawalan keselamatan yang ketat dengan pelawat harus memaklumkan nombor unit kediaman serta mereka hanya dibenarkan masuk setelah mendapat kebenaran daripada penghuni premis itu sendiri.

“Jadi kami terpaksa melakukan pelbagai cara sebelum dapat mengesahkan nombor dan lokasi rumah yang turut dijadikan stor penyimpanan barangan tiruan terbabit seterusnya bertindak melakukan serbuan pada jam 11 pagi tadi.

Foto: NSTP

“Ia dilakukan hasil risikan dan intipan selama seminggu selepas pihak kami menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagang jenama terbabit,” katanya.

Jegan berkata, pihaknya telah menyita sejumlah 1,437 unit barangan seperti beg tangan, dompet, barangan kemas seperti gelang tangan selain minyak wangi, tuala dan selimut yang menggunakan cap dagangan berdaftar disyaki palsu dianggarkan bernilai RM70,250.

Beliau memaklumkan, barangan jenama terkenal itu antaranya meliputi Louis Vutton, Chanel, Christian Dior, Gucci, Yves Saint Laurent, Balenciaga dan Celine yang kesemuanya dipercayai produk tiruan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan menunjukkan barangan berjenama tiruan yang dirampas dalam serbuan di sebuah kediaman di Simpang Ampat. Barangan tiruan antaranya beg tangan, minyak wangi dan barangan kemas dianggarkan bernilai RM70,250 dirampas. – Foto: NSTP

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan pasangan terbabit bersama dua pekerja sibuk mereka kelihatan sibuk memunggah kotak mengandungi barang tersebut selain ada yang membungkus pesanan pelanggan yang akan dihantar melalui perkhidmatan kurier.

Menurutnya, ada di antara barangan tersebut dijual secara bidaan serendah RM50 sebelum dibida setinggi RM1,400 bagi satu-satu produk dengan pasangan itu hanya melakukan sesi penstriman langsung tiga kali seminggu dan mampu meraih sekitar RM5,000 setiap kali berbuat demikian.

Keempat-empat individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Loading...
Terkini