KOTA TINGGI: Pasangan suami isteri maut selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah lori di hadapan Muzium, Jalan Laksamana Kota Tinggi di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Shawaludin Ami Nordin, berkata mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Md Raus Kamaludin, 40 dan Noorain Tohit, 33.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 6.04 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Hino dan sebuah motosikal Honda Wave yang dinaiki mangsa.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tersepit di bawah lori. Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas, namun kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pemandu lori, seorang lelaki dewasa, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Selepas proses menyelamat, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.