KUANTAN: Polis mengesahkan suami kepada seorang wanita warga emas yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam sungai di Jambatan Balok Makmur, Seberang Balok, di sini pagi tadi, meninggal dunia, petang ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa, Abd Aziz Ahmad dari Taman Inderapura, Jerantut meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada jam 2.24 petang.
“Ya, mangsa meninggal dunia di HTAA ketika menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, isteri Abd Aziz, Paridah Dollah, 67, yang memandu kereta Proton Saga meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu.
Siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dinaiki pasangan itu dari arah Balok Makmur menuju Seberang Balok, sebelum tiba-tiba terbabas masuk ke dalam sungai.
Paridah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Abd Aziz dibawa ke HTAA untuk menerima rawatan lanjut kerana sesak nafas.
Bagaimanapun, Abd Aziz meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.