Tumpuan :
Nasional

Suami Zahnita didakwa berkait kes keganasan rumah tangga, dadah hari ini

Suami Zahnita Wilson sebelum ini dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan untuk mendapatkan perintah tahanan reman. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Suami kepada bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan berkaitan kes keganasan rumah tangga dan dadah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kontraktor berusia 46 tahun itu akan didakwa atas dua pertuduhan berkaitan keganasan rumah tangga serta kesalahan berkaitan dadah.

“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, selain pertuduhan berkaitan urin positif narkotik,” katanya dalam pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula kelmarin untuk membantu siasatan kes keganasan rumah tangga terbabit dan tempoh reman akan tamat hari ini.

Kelmarin, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, dipercayai menjadi mangsa keganasan rumah tangga kerana ingin keluar dari rumah dan tinggal berasingan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipukul suspek kerana mahu keluar dari rumah untuk tinggal secara berasingan. Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis pada 27 November lepas dan suspek ditahan semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.

Mangsa turut mengejutkan peminatnya dengan memuat naik dua foto di Instagram miliknya, menunjukkan kecederaan lebam di bahagian mata, dipercayai akibat dipukul.-BERNAMA

Loading...
Terkini