Tumpuan :
Nasional

Sub Inspektor, 2 lelaki Bangladesh direman bantu siasatan kes rasuah selesai pergaduhan

 

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Seorang polis berpangkat Sub Inspektor dan dua lelaki warga Bangladesh direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan wang RM29,000.

Majistret Mohamad Azlan Basri membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman ketiga-tiga individu berusia 44 hingga 55 tahun itu bermula hari ini.

Terdahulu polis berusia 55 tahun dan dua lelaki Bangladesh berusia 44 dan 52 tahun terbabit tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.50 pagi dengan berpakaian lokap SPRM dan tangan bergari.

Difahamkan dua daripada suspek iaitu pegawai polis dan seorang lelaki Bangladesh ditahan tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri, manakala seorang lagi suspek ditahan malam tadi.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek dipercayai menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kes pergaduhan seorang pengadu yang juga warga Bangladesh pada 2022.

Katanya, pengadu mendakwa ketiga-tiga suspek meminta wang sebanyak RM22,000 pada 2022 sebagai balasan supaya laporan polis berhubung kes itu ditarik sekali gus ia dianggap selesai.

“Pengadu telah memberikan wang tersebut kepada suspek bagi menyelesaikan kes pergaduhan itu tetapi kes pengadu tetap berjalan.

“Suspek sekali lagi meminta wang sebanyak RM10,000 kepada pengadu pada tahun lalu tetapi pengadu hanya menyerahkan RM7,000 kepada suspek,” katanya di sini, hari.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini