comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Subahat dengan kaki ponteng puasa, peniaga sorok lauk dalam tandas 

Ayam goreng dan nasi bungkus disorok dalam mesin basuh dalam tandas ketika operasi di Tangok dekat Bachok, semalam. – FOTO: Majlis Daerah Bachok

KOTA BHARU: Sanggup sorok lauk dalam tandas dan nasi bungkus dalam mesin basuh.

Itu tindakan seorang peniaga wanita yang disyaki untuk dijual kepada kaki ponteng puasa.

Perbuatannya yang bersubahat dengan geng ponteng puasa terbongkar dalam operasi di Tangok, dekat Bachok, semalam.

Dalam operasi cegah orang tidak berpuasa oleh Pejabat Agama Jajahan Bachok dan Majlis Daerah Bachok antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, lebih 20 bungkus nasi berlauk ayam bersama teh O ais dirampas.

Pegawai Agama Jajahan Bachok Suratemi Mat Yusof, berkata dalam operasi itu, pihaknya memberi amaran kepada  wanita terbabit, yang juga pemilik rumah berusia 40-an.

Operasi itu dilakukan hasil pemantauan pihaknya dan aduan awam yang mendapati pemilik rumah menjual makanan dan minuman kepada individu tidak berpuasa.

“Hasil operasi menemukan lebih 20 bungkus nasi yang disorok dalam mesin basuh dan ayam yang diperap dalam tandas.

“Selain itu, kita juga menemukan teh O ais yang disembunyikan dalam bilik tidur. Hasil soal siasat, pemilik rumah mengaku membungkus nasi itu sebelum pembeli menghubunginya untuk mengambil makanan itu.

“Wanita berkenaan memaklumkan dia menjual dari rumah pada Ramadan kepada individu yang tidak berpuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Suratemi berkata, pihaknya memberi nasihat kepada wanita itu supaya tidak menjual makanan kepada golongan yang tidak berpuasa dan wanita itu berjanji tidak akan mengulangi perbuatan terbabit pada masa akan datang.

Wanita itu juga akan dipanggil untuk diberi kaunseling supaya tidak menjual makanan pada waktu pagi sepanjang Ramadan ini.

“Dalam operasi itu, tiada tangkapan dibuat berikutan mereka sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya.

Loading...
Terkini