KUALA LUMPUR: Datuk Zulhelmy Ithnain dilantik sebagai Panglima Tentera Laut ke-19 dan dinaikkan pangkat kepada Laksamana.
Perlantikan Zulhelmy bagi menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob yang bersara pada 2 Disember ini.
Upacara pemakaian pangkat Laksamana kepada Zulhelmy disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, disaksikan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Zulhelmy dilahirkan pada 2 Januari 1968 di Dato’ Keramat di sini.
Beliau menerima pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja pada 1981 hingga 1985 sebelum memulakan karier Tentera Laut Diraja (TLDM) dengan mengikuti latihan sebagai Pegawai Kadet pada 1986.
Beliau seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam cawangan Eksekutif dua tahun kemudian.
Kerjaya beliau sebagai ‘Submariner’ bermula pada 1993 apabila memperoleh lencana kepakaran kapal selam selepas menamatkan latihan kapal selam di HMAS Platypus, Australia.
Zulhelmy seterusnya menamatkan Kursus Kapal Selam di Brest, Perancis dan dianugerahkan Sijil Kelayakan Pegawai Memerintah Kapal Selam jenis Agosta.
Sejarah turut tercipta apabila beliau berjaya membawa pulang Kapal Selam Pertama Malaysia KD Tunku Abdul Rahmah dari Perancis yang mengambil masa dua bulan.
Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau sepanjang perkhidmatan adalah Panglima Angkatan Kapal Selam, Asisten Ketua Staf Pembangunan (J5) Markas Angkatan Bersama, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Laut serta Panglima Wilayah Laut 1.
Selain itu, beliau pernah menjawat Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Timbalan Panglima Tentera Laut serta memegang jawatan Pemangku Panglima Tentera Laut pada 1 Ogos lalu.
Zulhelmy adalah pemegang ljazah Sarjana National Security Administration yang turut menerima The Outstanding Alumni Award dari National Defence College of the Philippines.
Beliau juga adalah alumni United States Naval War College, Rhode Island dan Royal College of Defence Studies, United Kingdom.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.