
KUALA LUMPUR : Pelaksanaan subsidi bersasar akan membantu kerajaan mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan, negara tidak lagi boleh menanggung sistem subsidi yang dibelenggui ketirisan.
”Daripada jumlah pendapatan yang kita dapat hampir 22-25 peratus adalah untuk subsidi , jadi sudah tentu ini sangat tinggi. Kalau tinggi sampai kepada sasaran membantu orang tidak mengapa. Tetapi kalau dia tinggi kerana ada ketirisan kebocoron kerana sistem subsidi kita ini akan menyebabkan ketirisan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau turut memberi contoh 60 juta minyak masak paket bersubsidi yang dikeluarkan.
Katanya jika terdapat 3.2 juta golongan B40 dengan setiap isi rumah menerima 5 paket sebulan, maka dianggarkan 15 juta paket minyak masak digunakan.
Justeru, persoalannya ke mana baki paket minyak masak yang dikeluarkan.
”Tapi kerajaan keluar 60 juta paket. Jadi menteri jawab bahawa yang selebihnya perusahaan mikro pakai, kalau perusahaan mikro pakai, mikro ni ada 1.2 juta, kalau kita nak bantu mikro ini dan kita kena ada “data base” mikro kalau nak bagi kita bagi, kita jangan sebut 60 juta tapi kita bagi pada isi rumah sebenarnya pergi kepada perniagaan,” jelasnya lagi.
Semalam, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh mendedahkan 60 peratus dari 60 juta paket minyak masak digunakan peniaga mikro yang tidak tergolong sebagai penerima subsidi barangan itu.
Mengulas kebimbangan Johari itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata penambah baikan akan dilakukan untuk memastikan program subsidi bersasar mencapai matlamatnya.
”Insyallah dalam pengumuman pengumuman seterusnya, kalau kebimbangan Titiwangsa ialah tentang komitmen politik saya yakin bahawa Kerajaan Perpaduan ini melakukan pekara yang betul. Insya Allah kita akan ubah sepenuhnya subsidi bersasar ini,” katanya.