comscore
Tumpuan :
Nasional

Subsidi diesel bersasar diperluas kepada sektor barangan

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PELABUHAN KLANG: Kerajaan melalui Kementerian Pedagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas pemberian subsidi diesel dengan kadar khas kepada sektor barangan melalui pelaksanaan program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0.

Inisiatif penyasaran semula pemberian subsidi yang akan dilaksanakan secara berperingkat ini adalah sebagai usaha menangani isu risiko impak kenaikan kos logistik yang dibebani rakyat di Semenanjung Malaysia.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif ini ditambahbaik dengan penggunaan ‘fleet card’ yang mempunyai kuota-kuota tertentu mengikut syarikat, jenis kenderaan dan penggunaan.

“Terdapat sembilan sektor barangan yang dikenalpasti layak dipertimbangkan untuk terlibat dalam penyasaran subsidi diesel ini dengan kadar khas iaitu lori kargo am, lori luton, lori tangki air, lori minuman botol, penggerak utama, panel van, lori refrigerated, lori tangki tepung dan window van.

“Apabila disasarkan semula, risiko kenaikan logistik akan berlaku, sebab itu kerajaan putuskan untuk kurangkan impak yang dikhuatiri akan diturunkan kepada rakyat, dan sebab itulah kerajaan fikir perlu perluaskan subsidi ini bukan hanya untuk pengangkutan awam, tetapi juga kepada barangan supaya kos peningkatan logistik itu tidak dibebani secara total kepada rakyat dalam konteks kenaikan harga barang,” ujarnya ketika turun padang meninjau persiapan pelaksanaan secara rintis SKDS 2.0 di Pelabuhan Klang, hari ini.

Tambahnya, pematuhan dan kawalan akan lebih telus serta berkesan, di sampingketirisan dan penyelewengan diesel bersubsidi dapat dikurangkan melalui penggunaan ‘fleet card’ ini.

“Sekurang-kurangnya harga yang lebih tinggi, nilai penyelewengan itu akan berkurang kerana mereka membeli dengan kadar yang tinggi, kalau kadar diesel terlalu rendah di stesen pam, margin penyelewengan akan jadi tinggi. Jadi apabila di stesen pam kadarnya dinaikkan ia akan jadi satu faktor mereka merasakan perniagaan itu bukanlah satu pilihan yang baik.

“Bukanlah bermaksud subsidi ditarik semula, bukan semua even diesel di pam minyak akan ada subsidi lagi, cuma jumlahnya bukan lah jumlah yang sekarang, tetapi kita akan sasarkan untuk sektor-sektor tertentu kadar khas lebih rendah berbanding di stesen-stesen minyak, dan untuk rakyat keseluruhannya, sepertimana yang pernah diumumkan Perdana Menteri, Menteri Ekonomi, akan ada juga bantuan secara langsung kepada rakyat dalam bentuk wang tunai.

“Kalau mereka isi melalui skid tank di tempat mereka, kita tak boleh pantau secara keseluruhan penggunaan itu, mereka hanya ada sistem dalaman sendiri, tetapi kalau guna sistem fleet card ini KPDN boleh dapatkan rekod yang lebih menyeluruh berkaitan nombor pendaftaran kenderaan yang didaftarkan dan penggunaanya serta maklumat lain,” katanya.

Ujarnya, projek rintis yang akan bermula 1 Februari depan melibatkan enam syarikat terpilih bagi menguji Sistem MySubsidi Diesel dan juga Sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak sebelum dilaksanakan kepada keseluruhan industri.

Loading...
Terkini