comscore
Tumpuan :
Nasional

Subsidi diesel: KPDN buka 3 kertas siasatan, terima 23 aduan

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka tiga kertas siasatan dan menerima 23 aduan berkaitan penyasaran subsidi diesel sejak pelaksanaan penyasaran subsidi itu pada Isnin lalu (10 Jun) sehingga semalam.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, sejumlah 191 notis turut dikeluarkan susulan pemeriksaan ke atas 346 premis di seluruh negara menerusi Ops Kesan 2.0.

“KPDN ingin mengingatkan khususnya peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 demi menjaga dan melindungi hak pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, bagi sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah berikutan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, orang ramai boleh mengemukakan sebarang maklumat dan aduan melalui talian khas Ops Kesan 2.0 iaitu 012-6654292.

Aduan lengkap dan tepat juga boleh disalurkan kepada pihak KPDN melalui WhatsApp di 019-279 4317/019-848 8000; portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Mengulas lanjut, menurut Fuziah, Ops Kesan 2.0 dilancarkan mulai 8 Jun lalu sebagai persiapan kepada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Ujar beliau, pihak kementerian telah membuat persediaan rapi bagi menangani sebarang aduan terhadap mana-mana peniaga yang didapati menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.

Ia terutama kepada mereka yang mendapat manfaat dari penyasaran subsidi diesel dan juga kepada peniaga yang sememangnya tidak layak menerima subsidi diesel sebelum pelaksanaannya.

Ahad lalu, kerajaan mengumumkan harga runcit bahan api diesel ditetapkan RM3.35 seliter bermula Isnin lalu di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini