comscore
Tumpuan :
Nasional

Subsidi harga tiket penerbangan ke Sarawak dan Sabah beri keuntungan kepada rakyat?

Oleh Nur Ain Zulfah Yahya

PETALING JAYA: Pengurangan harga tiket penerbangan pulang ke Sabah dan Sarawak sempena perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Muhammad Muqri Zulfadhli Abd Aziz, 24.

Menurut pengguna, Muhammad Muqri Zulfadhli Abd Aziz, 24, subsidi pembelian tiket penerbangan daripada kerajaan dilihat mampu meringankan beban warga Sarawak dan Sabah di Semenanjung yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak (atau sebaliknya) sempena perayaan yang telah ditetapkan maksimum RM300.

“Saya melihat ini adalah satu langkah yang terbaik kerana jika melihat pada perayaan Aidilfitri lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tol Rahmah yang hanya menguntungkan penduduk Semenanjung sahaja.”

“Dengan pengumuman tersebut oleh Anthony Loke, barulah ia dilihat situasi menang-menang antara penduduk Semenanjung serta Sabah dan Sarawak yang adil dan saksama.”

“Saya berharap agar pelaksanaan projek perintis bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan itu diteruskan untuk ke semua perayaan yang ada di Malaysia. Kadangkala isu kekerapan kapal terbang bukan menjadi faktor utama yang dihadapi oleh mereka tetapi isu penetapan harga tiket penerbangan yang melambung oleh kesemua syarikat penerbangan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Mohammed Rozaidy Hadanan, 39.

Dalam pada itu, berbeza pula dengan pendapat seorang warga Sabah yang menetap di Semenanjung, Mohammed Rozaidy Hadanan, 39, berkata pengenalan subsidi tiket penerbangan tersebut sangat bagus namun, usaha itu dilihat ‘memakan diri’ pihak kerajaan sendiri.

“Solution itu baik tapi sampai bila? Takkan tiap-tiap kali perayaan kerajaan nak subsidised tickets, nanti sampai satu tahap kerajaan tarik balik subsidi confirm rakyat akan bising, solution yang agak makan diri juga la.”

“Lagi satu bila letak tiga hari je untuk tiket murah camtu mcm mana dengan hari-hari yang lain? Ada je yg balik raya awal seminggu. Dorang kena tanggung tiket yg mahal pulak ke macam mana?”

Beliau juga memberi saranan kepada pihak kerajaan dan Malaysian Aviation Commission (MAVCOM) supaya menetapkan tambang harga yang rendah bagi tiket penerbangan ketika musim perayaan bermula memandangkan terdapat isu tahun lepas pihak kerajaan bersuara kepada syarikat penerbangan yang sengaja menaikkan harga tiket secara mendadak.

Ujarnya lagi, sudah hampir lima tahun tidak pulang ke Sabah kerana harga tiket penerbangan melambung naik setiap kali tiba musim perayaan dan memilih untuk membawa ahli keluarganya sendiri datang ke Kuala Lumpur kerana harga tiket dari Sabah ke Kuala Lumpur jauh lebih murah.

Hari ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan pelaksanaan projek perintis bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan pulang ke Sabah dan Sarawak bermula 20 Mei ini pada jam 12.01 tengah malam sempena perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Loading...
Terkini