comscore
Tumpuan :
Nasional

Subsidi tiket penerbangan pelajar IPT diteruskan mulai hari ini

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Kerajaan menyambung semula pelaksanaan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan (FLYsiswa) mulai hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, inisiatif itu bagi pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Buat masa ini, pelajar yang layak hanyalah pelajar yang masih berdaftar di universiti awam, politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi dan IPG sehingga 31 Disember 2023 bagi fasa pertama.

“Manakala pelajar baru bagi sesi kemasukan 1 Januari sehingga 31 Mac 2024 akan dilaksanakan dalam fasa kedua mulai Julai 2024,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, MOT berkata, pelajar yang layak boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang MOT (https://subsidiudara.mot.gov.my/).

Selepas semakan, pelajar boleh membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan daripada mana-mana satu syarikat penerbangan iaitu sama ada Malaysia Airlines (termasuk MASwings dan FireFly), AirAsia atau Batik Air melalui laman sesawang syarikat penerbangan tersebut.

Sekiranya pelajar didapati tidak layak, mereka boleh membuat semakan dan rayuan kepada KPT atau KPM melalui institusi pendidikan masing-masing.

“Setelah menerima permohonan tersebut, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai ‘credit shell’ untuk membeli tiket penerbangan.

“Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Jelas MOT, tempoh permohonan baucar adalah dari hari ini hingga 30 November ini manakala baucar tersebut boleh ditebus untuk pembelian tiket penerbangan sehingga 31 Disember ini.

Pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.

“Bantuan ini adalah salah satu initiatif Kerajaan Perpaduan untuk mengeratkan hubungan antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak serta Labuan di samping menangani isu kos sara hidup selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini