comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Sudah bawa lebih 30,000 jemaah umrah, bukti EMRAZ bukan scammer’

 

 

KUALA LUMPUR: Syarikat pelancongan, Emraz Travel and Tours Sdn Bhd (EMRAZ) yang digantung Lesen Pengelola Haji (PJH ) oleh Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan pihaknya menipu pelanggan, sebaliknya sudah menerbangkan lebih 30,000 jemaah umrah ke Tanah Suci.

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Zulkarnain Endut, berkata pihaknya kini berbincang dengan TH berhubung isu penggantungan lesen terhadapnya.

Beliau berkata, masalah dihadapi pihaknya adalah masalah lazim dialami syarikat pelancongan lain selepas wabak COVID-19 melanda negara.

“Seperti syarikat pelancongan lain, EMRAZ juga berdepan proses pemulihan pasca pandemik COVID-19, selain kenaikan luar biasa harga tiket dan hotel di Tanah Suci.

“Sebelum ini, EMRAZ sudah menerbangkan lebih 30,000 jemaah umrah, sekali gus membuktikan syarikat ini bukan ‘scammer’, malah tidak mengenakan bayaran tambahan meskipun terdapat kenaikan kos,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, EMRAZ  berterima kasih kerana kesudian TH menawarkan PJH kepada syarikatnya sebelum ini.

Pada 23 Januari lalu, TH mengumumkan pihaknya menyerahkan PJH kepada 22 syarikat pelancongan tempatan dan anak syarikatnya, TH Travel & Services Sdn Bhd, bagi musim haji 1444H / 2023.

EMRAZ  antara  syarikat pelancongan yang mendapat lesen PJH daripada TH dan dipilih secara tahunan selepas memenuhi syarat ditetapkan.

Buletin TV3 hari ini melaporkan TH menggantung lesen PJH Emraz Travel & Tours Sdn Bhd sebagai langkah awal melindungi kebajikan bakal jemaah haji.

Keputusan itu diambil berikutan makluman beberapa aduan awam mengenai perkhidmatan umrah yang diberikan syarikat berkenaan.

Loading...
Terkini