comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sudahlah rugi RM41,964, diugut scammer lagi

Foto hiasan

JEMPOL: Seorang ejen insuran bukan sahaja mengalami kerugian RM41,964 selepas ditipu dalam urusan pembelian kereta dalam talian malah turut diugut.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata mangsa pada 25 April lalu berurusan melalui aplikasi Whatsapp untuk membeli sebuah kereta selepas melihat iklan di Facebook.

Katanya mangsa bersetuju untuk membeli sebuah kenderaan pelbagai guna (mpv) jenis Toyota Estima dengan harga RM62,500.

“Mangsa kemudian membuat 16 kali bayaran berjumlah RM41,964.20 dengan pemindahan wang secara dalam talian kelapan akaun bank berlainan bermula 2 Mei hingga 8 Mei lalu.

“Pada 9 Mei lalu, seorang lelaki dari syarikat menjual kereta berkenaan meminta pengadu membuat bayaran fee peguam berjumlah RM6,000 namun mangsa enggan membuat bayaran,” katanya.

Hoo berkata selepas mangsa enggan membuat bayaran itu, mangsa kemudian menerima pesanan suara menerusi aplikasi Whatsapp daripada seorang lelaki yang mengugut mahu mengancam keselamatan mangsa dan keluarganya.

Katanya suspek juga mengancam mahu menyebarkan maklumat mangsa dan isterinya di Facebook .

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bahau pada jam 10 malam tadi selepas bimbang dengan keselamatan diridan keluarga,”katanya.

Hoo berkata polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini