comscore
Tumpuan :
Nasional

SUHAKAM pantau isu masyarakat Palauh 

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memantau rapat tindakan diambil pihak berkuasa berkaitan komuniti Bajau Laut atau dikenali ‘Palauh’ di Semporna.

SUHAKAM menegaskan bahawa pihaknya mengambil berat perkara berkenaan.

“Beberapa rumah dirobohkan sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan Sabah untuk meningkatkan keselamatan dan melindungi alam sekitar di kawasan Taman Marin Tun Sakaran.

“Walaupun notis awal diberikan kepada komuniti yang terjejas, SUHAKAM mengakui keperluan untuk menilai kesan kemanusiaan yang lebih luas daripada tindakan ini.

“Bajau Laut adalah komuniti yang unik dan terpinggir dari segi sejarah berdepan cabaran yang signifikan, termasuk akses yang terhad untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

“Tatkala mengiktiraf hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan keselamatan, SUHAKAM menekankan kepentingan pendekatan seimbang untuk menangani keperluan segera mereka yang terjejas akibat tindakan perobohan itu,” kata kenyataan itu.

SUHAKAM turut menawarkan bantuan segera kepada komuniti Bajau Laut yang dipindahkan ketika operasi perobohan penempatan masyarakat berkenaan.

Bantuan itu termasuk memastikan mereka ada akses rumah sementara, penjagaan perubatan dan sumber pendidikan bagi meminimumkan gangguan terhadap kehidupan mereka.

“Kita menggalakkan dialog dan kolaborasi di antara kerajaan negeri, komuniti Bajau Laut dan pertubuhan kemanusiaan untuk membangun strategi mapan dan inklusif yang dapat menangani isu lebih luas tatkala menghormati hak dan maruah semua individu yang terlibat.

“SUHAKAM kekal komited untuk memantau situasi secara rapat dan mencari penyelesaian ke arah menegakkan hak asasi manusia,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew mendedahkan sebanyak 138 rumah daripada 273 yang diberikan notis dirobohkan di penempatan tanpa izin di Pulau Bohey Dulang dan Bodgaya, Semporna pada 4 hingga 6 Jun lalu.

Katanya, operasi perobohan itu membabitkan rumah penempatan tanpa izin yang dibina di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) dan dilaksanakan selepas satu mesyuarat yang dipengerusikan Taman-Taman Sabah (TTS) dan Ketua Polis Daerah Semporna mengenai pengedaran Notis Pengosongan Kawasan TMTS pada 26 April lalu.

Katanya, operasi itu membabitkan pihak polis, Polis Marin, Pejabat Daerah Semporna, ESSCOM, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Daerah Semporna.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini