comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Brunei tiba untuk lawatan 3 hari ke Malaysia 

SUBANG: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Pangkalan Udara Subang di sini bagi memulakan lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari bermula hari ini.

Baginda diiringi Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, pegawai kanan kerajaan dan delegasi mendarat tepat jam 5 petang dengan pesawat khas.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sejurus mendarat Sultan Brunei kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat yang dianggotai dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Dalam tempoh lawatannya ke Malaysia, Sultan Brunei dijadual diberikan Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi esok.

Seterusnya baginda akan bertemu dengan Al-Sultan Abdullah, diikuti dengan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Sultan Brunei dan delegasi.

Pada sebelah petangnya pula, baginda akan bertemu dengan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala antara Malaysia-Brunei.

Sebelum mengakhiri lawatannya di Malaysia pada Jumaat, Sultan Brunei juga dijangka berangkat ke Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Perdana Menteri di Malaysian Petroleum Club, Menara Berkembar Petronas.

Loading...
Terkini