comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Ibrahim, Raja Zarith Sofiah adakan Lawatan Negara pertama

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Republik Singapura bermula esok dan lusa atas jemputan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.

Wisma Putra berkata, lawatan ini adalah Lawatan Negara pertama baginda sejak menaiki takhta pada 31 Januari 2024.

Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah akan diiringi oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

“Semasa Lawatan Negara ini, baginda berdua akan menerima Sambutan Negara di Istana Singapura, diikuti dengan pertemuan bersama Presiden Republik Singapura serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Republik Singapura.

“Yang di-Pertuan Agong turut dijadualkan menerima menghadap!Perdana Menteri Republik Singapura, Lee Hsien Loong dan Timbalan Perdana Menteri Republik, Lawrence Wong.

“Baginda juga berkenan untuk mengadakan lawatan ke Parlimen Singapura serta melihat perkembangan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, Lawatan Negara ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala yang dinamik antara Malaysia dan Singapura serta mempamerkan komitmen kedua-dua negara untuk mengerat dan mempelbagaikan jalinan kerjasama.

Katanya, Malaysia dan Singapura adalah rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain sejak lebih sedekad yang lalu, dan yang terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

“Pada tahun 2023, jumlah dagangan kedua-dua negara adalah sebanyak RM363.13 bilion (USD79.60 bilion),” kata Wisma Putra lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini