comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sultan Ibrahim tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang

Oleh: Hilmi Abdul Malik

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong ke-17,  Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berangkat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang sekitar jam 9.45 pagi hari ini.

Baginda disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

 

Kenderaan rasmi yang membawa baginda kemudian berangkat menuju ke Istana Negara, ibu negara.

Sultan Ibrahim bakal menyempurnakan Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 hari ini.

Terdahulu, pesawat peribadi yang membawa Baginda telah berlepas dari Hangar Diraja Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada jam 9.00 pagi.

Baginda akan bersemayam di Istana Negara dan memulakan tugas rasmi untuk tempoh lima tahun iaitu sehingga 2029.

Turut berangkat sama hari ini ke Istana Negara, Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Difahamkan, seramai 1,200 individu membabitkan beberapa agensi kerajaan dan orang awam berhimpun di sepanjang laluan bagi menyambut keberangkatan tiba Baginda di ibu negara.

27 Oktober tahun lalu, Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara sebulat suara mengisytiharkan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Pelantikan Baginda adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah tamat tempoh perkhidmatan, semalam.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini