comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Nazrin lancar dua buku sebagai panduan komprehensif bina asas keagamaan

Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam (MAKPI) Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 1446H / 2024M serta melancarkan dua buku berkaitan keagamaan hari ini. – FOTO: NSTP

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan melancarkan Buku Silibus Usrah BADAR Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Buku Teks Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (AIMAN).

Pelancaran itu bersempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam (MAKPI) Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 1446H / 2024M di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), Jalan Raja Musa Mahadi, di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Buku Silibus Usrah BADAR JAIPk adalah panduan komprehensif bagi membina asas keagamaan yang kukuh melalui pendekatan usrah menggunakan pendekatan interaktif yang mudah difahami, dengan membawakan tema utama dalam bidang tauhid, fekah, tafsir, hadis, tajwid, akhlak, dan sirah.

Ia mula dibina pada 2011 di bawah seliaan Bahagian Pendidikan JAIPk dengan kerjasama Mursyid Badan Dakwah Dan Rohani (BADAR) JAIPk, terdiri daripada tahap satu hingga lima.

Buku Teks AIMAN membabitkan pembelajaran Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Tiga yang tumpuan kepada latihan amali berkaitan amalan-amalan fardu ain dan fardu kifayah seperti pengurusan jenazah dan sembelihan haiwan bagi melahirkan pemimpin yang berpengetahuan dalam kalangan remaja yang akan mengetuai program atau aktiviti keagamaan dalam masyarakat setempat.

Buku Teks Aiman dihasilkan menerusi kerjasama antara agensi membabitkan JAIPk, Yayasan Perak, dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Pembelajaran AIMAN dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) terpilih di seluruh negeri Perak yang turut mendapat sumbangan daripada masjid-masjid berdekatan.

Dalam program itu juga, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan 20 anugerah membabitkan 107 penerima termasuk kepada Anugerah Tokoh Pendidik yang disampaikan kepada Madihah Mohamad, 63, berasal dari Rungkup yang juga bekas Pengetua Sekolah Raja Perempuan Taayah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini