comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Nazrin, Tuanku Zara hadir sambutan Tahun Baharu Cina

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan sumbangan ang pau kepada kanak-kanak khususnya anak yatim dari pelbagai kaum Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri bagi tahun 2024 di Dataran Warisan, di sini hari ini. – FOTO: NSTP

TAIPING: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Dataran Warisan, di sini, hari ini.

Hujan lebat tidak menghalang lebih 5,000 hadirin memeriahkan sambutan bermula 1.30 tengah hari dalam suasana penuh harmoni.

Berangkat sama, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Idris Shah, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Sultan Nazrin turut berkenan mengaul Yee Sang di tempat santapan baginda bersama tetamu kenamaan sebagai gimik perasmian majlis selain meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.

Baginda juga menyaksikan persembahan kebudayaan membabitkan pelbagai kaum antaranya tarian singa, wusyu dan muzikal instrumental Cina seperti permainan Diabolo serta persembahan Gendang 24 Musim.

Sultan Nazrin kemudian berkenan menyampaikan ang pau kepada kanak-kanak khususnya anak yatim pelbagai kaum sebelum berangkat pulang kira-kira 4.05 petang.

Sementara itu, Saarani dalam ucapan berkata, acara sambutan terbabit membuktikan keharmonian dan kerukunan rakyat berbilang kaum di negara ini yang sentiasa berusaha mengekalkan semangat toleransi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa. 

Loading...
Terkini