comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Nazrin zahir rasa pilu kesengsaraan rakyat Palestin

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan memeriksa Kawalan Kehormatan Panji Panji sempena Sambutan Rasmi Ulangtahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-67 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. – Foto: NSTP

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meluahkan rasa pilu terhadap penderitaan ditanggung oleh rakyat Palestin yang berterusan dizalimi rejim Zionis Israel.

Baginda menyifatkan perbuatan zalim rejim Zionis, sesuatu yang tidak pernah terfikir, tergamak dilakukan oleh makhluk bergelar manusia

Baginda bertitah, dunia sedang sakit dan ia dibimbangi menjadi tenat sekiranya krisis persaingan dan pergolakan dibiarkan terus berlaku sedangkan keganasan serta malapetaka kemanusiaan gagal dibendung.

“Penderitaan yang dialami oleh insan tidak berdosa di bumi Palestin mengembalikan ingatan kepada kata dua yang diungkapkan oleh tentera Athen kepada penduduk Pulau Melos semasa Perang Peloponnesia antara Athens dan Sparta pada tahun 416 sebelum Masihi bahawa yang kuat akan melakukan apa yang mereka boleh manakala yang lemah akan menderita.

“Penduduk Pulau Melos yang memilih sifat berkecuali dan tidak mahu menyerah diri dikepung, semua penduduk lelaki dibunuh, dan semua wanita dan kanak-kanak diperhamba.

“Sikap yang mementingkan diri dan merasakan diri sendiri sahaja yang betul akan membawa kepada kemusnahan. Membenci dan bermusuhan bagaikan pilihan kalangan yang memiliki kuasa dan kelihatan lebih cenderung untuk bersaing daripada bekerjasama.

“Akibatnya usaha-usaha membangun insan, menghapuskan kemiskinan, mengatasi kekurangan makanan dan membasmi kejahilan serta buta huruf menjadi bertambah sukar,” titah baginda di Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-67 Sultan Perak, hari ini.

Dalam pada itu, baginda bertitah selain usaha membangunkan insan terjejas, dunia juga kini sedang menghadapi masalah bekalan perkhidmatan dan barangan, terutama bahan makanan yang semakin sukar diperoleh sehingga menyebabkan kos sara hidup terus meningkat, mengakibatkan rakyat di serata dunia menanggung kesusahan.

“Dunia yang tenat dilanda krisis perlu diubati dengan suara perdamaian. Bermuafakat lebih baik daripada bersengketa, bermesyuarah lebih baik daripada bertelagah serta bermaaf-maafan lebih baik daripada berdendam.

“Insaflah! Kedamaian lebih baik daripada peperangan; Insaflah! akar kemanusiaan hanya tumbuh dalam suasana persahabatan dan kerjasama; Insaflah! Kedamaian akan tinggal dalam impian jika tidak ada rasa muhibah dalam hati insan.

“Dunia ini perlu dilimpahi dengan cahaya kedamaian yang menjamin harapan. Perdamaian akan hanya wujud apabila manusia memilih untuk memahami antara satu sama lain.

“Suara kebenaran di tengah-tengah arus yang memilih untuk berkonflik dan usaha perdamaian dalam dunia yang memilih untuk berperang, memerlukan kekuatan, ketabahan dan keberanian luar biasa, mengatasi kekuatan, ketabahan dan keberanian seorang soldadu di medan perang,” titah baginda.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini