comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor berkenan terima zakat perniagaan RM10.2 juta

Sultan Sharafuddin (kanan) berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM2,894,100.00 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria (dua dari kiri). – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada lima syarikat korporat berjumlah RM10.2 juta.

Menurut Lembaga Zakat Selangor (LZS), Worlwide Holdings Berhad mendahului senarai syarikat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2.89 juta bagi tahun kewangan 2022.

Manakala Kumpulan SIRIM, RM2.33 juta, Rafulin Holdings Sdn Bhd, RM1.6 juta dan Sime Darby Property Berhad, RM1 juta yang mana kesemuanya bagi 2022.

Baginda turut menerima zakat perniagaan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) berjumlah RM 2.31 juta bagi tahun ini.

Baginda turut berkenan berbuka puasa bersama rakyat dalam Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1444H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam di sini semalam.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Pada majlis sama, baginda menyaksikan penyerahan sumbangan LZS kepada JAIS bagi Sumbangan Ihya’ Ramadhan Masjid dan Surau Negeri Selangor berjumlah RM2.4 juta .

Ia bagi tujuan pengimarahan masjid dan surau di negeri ini sempena bulan Ramadan.

Menurut LZS, 417 masjid masing-masing akan menerima RM2,000 manakala 1,580 surau masing-masing menerima RM1,000.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 493 penerima sumbangan melibatkan 80 asnaf fakir, 301 asnaf miskin dan 112 muallaf.

Setiap penerima menerima sumbangan RM500  membabitkan jumlah RM 246,500.

Sebaik selesai majlis berkenaan dan berbuka puasa, baginda berkenan menunaikan solat sunat tarawih bersama rakyat yang diimamkan Ustaz Shukri Ali.

Loading...
Terkini