comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Selangor titah pemimpin politik perlu henti keluar fatwa 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. – Foto fail NSTP

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengingatkan semua pihak terutama pemimpin politik supaya segera menghentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat.

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) meminta supaya agama tidak diperalat bagi meraih sokongan, kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang-orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri

Baginda turut menyifatkan tindakan segelintir pemimpin politik mengeluarkan fatwa secara berleluasa sejak akhir-akhir ini sebagai amat membahayakan kerana boleh memecah-belahkan rakyat.

Sultan Selangor bertitah, sekiranya fatwa dibenar untuk dikeluarkan oleh orang dan pemimpin politik, ia akan mencetuskan perbalahan, perpecahan dan keganasan dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun bangsa.

“Beta tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab ini.

“Beta memilih mengeluarkan kenyataan ini selepas pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil selesai bagi mengelak kenyataan beta disalahertikan sebagai memihak sesuatu kumpulan politik,” titah baginda dalam kenyataan menerusi Selangor Royal Office, hari ini.

Di negara ini, tegas baginda, fatwa hanya boleh dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri atau mufti setelah mendapat perkenan Raja setiap negeri yang mengeluarkan fatwa itu.

Sultan Selangor bertitah, Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan di bawah MKI juga bertanggungjawab mengeluarkan pandangan hukum selepas perbincangan dengan mufti setiap negeri dan mendapat perkenan Majlis Raja-raja.

“Selanjutnya, pandangan hukum berkenaan diangkat untuk pertimbangan setiap Jawatankuasa Fatwa Negeri dan mendapat perkenan Raja sesebuah negeri untuk difatwakan.

“Sesuatu fatwa yang dikeluarkan bukan semata-mata atas dasar pandangan seorang mufti, sebaliknya kesepakatan majoriti ahli sama ada dalam Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan MKI dan/atau Jawatankuasa Fatwa negeri merangkumi alim ulama dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

“Ini bagi memastikan fatwa dikeluarkan tepat dan membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut meminta pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu sensitif membabitkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu supaya menjadi pengajaran dan ketakutan kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara sama pada masa hadapan.

Titah baginda, pemimpin politik khususnya yang veteran dan berpengalaman perlu mengelak daripada memecah-belahkan rakyat di negara ini.

“Ambil pendekatan menanam dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan semua kaum yang berlainan agama demi menjamin kesejahteraan negara,” katanya.

Loading...
Terkini