comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Terengganu berkenan rasmi Hospital Sultan Zainal Abidin

FOTO: NSTP

KUALA NERUS: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di sini bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-62 Hari Keputeraan baginda.

Berangkat sama Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Raja Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

HoSZA yang diserahkan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 7 Feb 2022 menawarkan perkhidmatan pengimejan dengan menyediakan akses kepada teknologi terkini seperti penggunaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) 3 Tesla dan Computed Tomography (CT) 256 keping yang dapat memastikan diagnosis tepat dan rawatan efisien bagi semua pesakit.

FOTO: NSTP

Dalam bidang pembedahan subkepakaran, HoSZA menawarkan perkhidmatan terkemuka dalam kolorektal dan urologi, dan menerusi kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) ia menawarkan perkhidmatan kardiologi, termasuk koronari bukan invasif dan percutaneous.

HoSZA yang kini dalam perancangan fasa 2 untuk penambahan lebih banyak fasiliti dan katil bagi menjadikan keseluruhan 400 katil, turut menyediakan perkhidmatan perubatan hiperbarik untuk merawat pelbagai keadaan kesihatan menggunakan terapi oksigen tekanan tinggi.

Kerjasama rapat antara Fakulti Perubatan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan UniSZA memperkuatkan lagi persekitaran penyelidikan dan pembangunan saintifik di HoSZA, selain pendekatan pembelajaran berpusatkan kes di hospital berkenaan membolehkan pelajar perubatan mempelajari ilmu dan kemahiran melalui situasi kehidupan sebenar pesakit.

Sementara itu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya percaya HoSZA mampu mencapai standard kecemerlangan sebagai Hospital Rujukan Pakar sepadan dengan hospital pengajar yang telah berdiri kukuh di Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan seperti perubatan, pembedahan dan pemulihan.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini